Powered By Blogger

Tuesday, March 23, 2010

Acara! KABUS dari Persatuan Bahasa Melayu Universiti Nasional Singapura (NUS)


MEREKA sering kali berkata 'rumahku, syurgaku'. Namun, pernahkah terlintas dalam fikiran anda unsur ironi yang terkandung dalam kiasan ini?
 

Syurga dibayangkan sebagai sebuah tempat yang suci lagi sempurna dan kesempurnaan ini dikatakan tiada tandingnya, manakala rumah merupakan tempat berteduh keluarga yang pada masa sama, turut menjadi saksi segala 'drama' yang berlaku di dalam ruang empat penjuru itu. Makanya, bagaimanakah analogi 'rumahku, syurgaku' berkesan sekiranya kita secara peribadi tahu bahawa kisah rumah kita masing-masing tidak sesempurna sepertimana syurga itu dibayangkan?
 

'Pentas Budaya 2010' anjuran Persatuan Bahasa Melayu Universiti Nasional Singapura (NUS) kembali tahun ini dengan sebuah pementasan yang bukan sahaja dapat menghiburkan anda, malah membuat anda berfikir tentang hakikat kehidupan yang sebenar.
 

Kabus - Pentas Budaya 2010 yang diterajui sekretariat seni Persatuan Bahasa Melayu NUS bakal mementaskan secara kreatif dan artistik perihal 'syurga' yang disebutkan itu. Kabus bertujuan memaparkan garisan kurang jelas, lantas kabus, yang memisahkan dua bahagian penting dalam kehidupan kita sebagai manusia; satu yang kita anggap sebagai 'rumah' manakala yang satu lagi apa yang kita bayangkan sebagai 'syurga'.
 

Menurut Naib Ketua Seni, Nafisah Anwar, konflik-konflik yang bakal diketengahkan dalam Kabus diharapkan dapat mendorong para penonton agar bermuhasabah diri dan berfikir tentang apa sebenarnya peranan kita sebagai manusia dalam sesebuah masyarakat.
 

'Saya mengharapkan para penonton dapat menghayati isi pementasan ini secara mendalam dengan menggunakan emosi sebagai alat untuk menghayati kerana bagi saya, kebolehan menghayati inilah yang dapat memberi saya kepuasan menyampaikan apa yang saya ingin sampaikan kepada para penonton,' jelasnya, sebagai penulis skrip dan pengarah pementasan ini.
 

Pementasan beraliran komedi gelap ini bakal menumpukan kepada empat keluarga Melayu Singapura yang menetap di blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang sama.

Mereka sering kali terserempak satu sama lain, khususnya di dalam lif blok berkenaan, tetapi mereka tidak begitu cenderung berinteraksi dengan masyarakat ataupun sesama sendiri.
Lif yang sama dijadikan ruang pertemuan antara mereka pada babak pembuka tirai. Senyuman sentiasa terukir di bibir mereka, diselangi anggukan kepala tanda setuju. Sayangnya, mereka sekadar bermain wayang.
 

Keadaan ini beransur hilang pada saat ruang lif ditinggalkan; mereka berpisah ke rumah masing-masing di mana pintu rumah ditutup rapat sekali gus menutupi rahsia alam 'syurga' mereka.
 

Apakah rahsia yang diselindungkan oleh keempat-empat keluarga ini? Begitu hitamkah rahsia mereka sehingga terpaksa bermain wayang dan berlakon di khalayak ramai?
Rahsia ini bakal terbongkar di atas pentas Pusat Kebudayaan Universiti NUS pada 11 April ini, 3.30 petang dan 7.30 malam.

Penempahan tiket boleh dibuat secara dalam talian melalui emel di pentasbudaya2010@gmail.com ATAU anda boleh hubungi saya (Hannah) di talian 91153437 ATAU Saudari Zahirah di talian 98375572.

Sila nyatakan nama penuh anda, nombor kad pengenalan, nombor telefon, emel dan juga sesi manakah (petang atau malam) yang anda berminat untuk hadiri.

Link mereka:  Kabus - Pentas Budaya 2010

No comments: